PETALING JAYA: Seorang juruteknik warga Amerika Syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki tempatan di sebuah pusat hiburan, bulan lepas.

Thomas Joseph, 30, didakwa mencederakan K. Chandra Bose, 58, sehingga menyebabkan kematian mangsa di sebuah pusat hiburan di sini, pada 12.30 tengah malam, 23 Mac lepas.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Anis Hakimah Ibrahim tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh atas alasan kesalahan dilakukan serius.

"Mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam dan fakta bahawa tertuduh seorang warga asing. Jika jaminan diberi, terdapat risiko untuk tertuduh melarikan diri serta tidak hadir pada prosiding akan datang," katanya.

Bagaimanapun, Anis Hakimah berkata sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan, pendakwaan mencadangkan kadar jaminan tinggi berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis setiap bulan dan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.

Peguam Datuk Suraj Singh, mewakili Joseph memohon anak guamnya dilepaskan dengan jaminan kerana tertuduh menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan dan bukannya Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh selain tertuduh akan mematuhi syarat-syarat tambahan yang dimohon pendakwaan.

Hakim Syahliza Warnoh tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 28 Mei untuk sebutan kes.

Bernama sebelum ini melaporkan mangsa maut selepas dikatakan ditumbuk seorang lelaki warga asing apabila berlaku pergaduhan menyebabkan mangsa jatuh dan belakang kepalanya pecah.

-- BERNAMA